Tema hiasan penting
7:14 PM | Author: HIASAN REKA INDAH
MENCIPTA ruang dalaman yang sempurna bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan perancangan teliti agar tidak terikut dengan kediaman orang lain.

Ia lebih memberikan cabaran apabila berpindah ke rumah baru kerana suasana itu memberikan ruang-ruang dinding yang kosong.

Pilihan penataan memberikan gambaran gaya hidup penghuni kediaman itu sendiri dan ia menjadi tatapan tetamu yang bertandang.

Fikir konsep atau tema asas, pengisian ruang atau warna-warna yang sesuai termasuk penataan cat untuk segenap inci kediaman anda.


Cat semestinya menjadi elemen terpenting dalam mengubah suasana suram menjadi lebih ceria sepanjang masa.


Sebelum membeli cat, pastikan ia sesuai dengan skima warna yang anda inginkan.

Bandingkannya dengan langsir dan permaidani atau lebih baik jika anda uji terus ke dinding anda.

Biasanya cat cenderung kelihatan lebih gelap apabila sudah disapu di dinding.

Jika anda ragu dengan tona sesuai, pilih yang lebih pucat dan dapatkan khidmat nasihat dari kedai cat yang anda kunjung itu.

Perancangan yang dibuat termasuk bajet perlu diambil kira dan anda boleh mengelakkan kediaman menjadi bahan uji dekorasi.

Dapatkan idea yang jelas berkenaan pembinaan dan hiasan dalaman kediaman anda untuk keselesaan semua.

Pembinaan dalaman bermaksud struktur atau kemudahan yang anda bina di dalam rumah selain dinding, lantai dan siling yang sedia ada.

Ia mungkin kabinet, almari pakaian atau dinding sempadan yang menambahkan seri kediaman.

Hiasan dalaman pula antara elemen yang memberikan warna, tekstur dan estetika kepada ruang-ruang dalam kediaman anda.

Ia mungkin cat, kertas dinding, lukisan, gambar, kemasan langsir atau perabot seperti sofa mudah alih.

Kombinasi yang kreatif serta bijak antara pembinaan dalaman dan hiasan dalaman menyempurnakan idea anda itu.

Jika anda melihat sesuatu perhiasan dan berkenan di mata padankan dengan latar kediaman anda dan kenal pasti sama ada sesuai atau sebaliknya.

Elak membeli, memilih atau membina secara rambang jika mahu menjadikan dalaman rumah anda benar-benar menarik dan membanggakan.

|
This entry was posted on 7:14 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: